Pengenalan Ejawi

Bahasa Melayu

Bahasa Melayu (Jawi: بهاس ملايو) ialah sejenis bahasa Melayu-Polinesia di bawah keluarga bahasa Austronesia yang telah digunakan di wilayah Indonesia, Malaysia, dan persekitarannya sejak melebihi 1,000 tahun lagi. Walaupun asal usul bangsa Melayu (dalam pengertian yang khusus) yang paling asal belum diketahui secara pasti tetapi pertumbuhan bahasa Melayu dapatlah dikatakan berasal dari Sumatera Selatan di sekitar Jambi dan Palembang.[1] Rekod terawal bahasa Melayu Kuno ialah sebuah batu bersurat bertarikh 682 Masihi yang dijumpai di Sumatera Selatan.

Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan Malaysia, Indonesia, dan Brunei, serta salah satu bahasa rasmi di Singapura. Di Indonesia, bahasa Melayu kini dipanggil bahasa Indonesia, dan di Malaysia, bahasa Melayu juga dipanggil bahasa Malaysia. Selain daripada keempat-empat negara tersebut, bahasa Melayu juga ditutur oleh penduduk-penduduk Melayu di Thailand Selatan, Filipina, Kemboja, Vietnam, Sri Lanka dan Afrika Selatan.

Menurut statistik penggunaan bahasa di dunia, penutur bahasa Melayu dianggarkan berjumlah lebih 300 juta (bersama penutur Bahasa Indonesia) dan merupakan bahasa keempat dalam turutan jumlah penutur terpenting bagi bahasa-bahasa di dunia selepas bahasa Mandarin, bahasa Inggeris dan bahasa Hindi/bahasa Urdu. Selain itu, dilaporkan sebanyak 70,000 orang mampu bertutur dalam bahasa Melayu di Sri Lanka, manakala di China, terdapat radio dalam bahasa Melayu. Bahasa Melayu juga diajar di universiti-universiti di United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Belanda, China, Jerman, New Zealand dan beberapa tempat yang lain.

Bahasa Melayu Piawai ialah Bahasa Melayu Riau, Indonesia, seperti yang dipersetujui oleh Indonesia, Malaysia, dan Brunei. Bahasa Melayu Riau dianggap tempat kelahiran bahasa Melayu. Di Malaysia, bahasa Melayu mengalami perubahan nama beberapa kali. Pada awal 1970-an, Bahasa Melayu dinamakan Bahasa Malaysia atas sebab politik. Namun sejak akhir-akhir ini, nama "Bahasa Melayu" digunakan semula. Bermula tahun 2007, bahasa kebangsaan Malaysia dinamakan kembali kepada Bahasa Malaysia sebagai simbol bahawa bahasa ini adalah bahasa untuk semua dan tidak mengira kaum. Di Indonesia, bahasa Melayu juga dikenali sebagai Bahasa Indonesia atas sebab persatuan dan kesatuan bangsa Indonesia iaitu Sumpah Pemuda tahun 1928. Di Singapura dan Brunei, Bahasa Melayu tidak mengalami sebarang perubahan nama.

Bahasa Melayu mempunyai banyak dialek dan setiap dialek mempunyai perbezaan ketara dari segi sebutan dan kosa kata. Misalnya, bahasa Melayu Jawa atau bahasa Jawa mempunyai banyak perkataan yang tidak diketahui oleh penutur bahasa Melayu yang lain. Selain itu, bahasa yang digunakan oleh masyarakat peranakan atau Cina Selat (campuran pendatang Cina dan penduduk asal) merupakan campuran antara Bahasa Melayu dan dialek Hokkien. Bahasa ini dahulunya banyak digunakan di negeri-negeri Selat seperti Pulau Pinang dan Melaka. Walaubagaimanapun, kini kaum peranakan lebih gemar berbahasa Hokkien atau Inggeris. Bahasa Melayu merupakan bahasa aglutinatif, bermaksud makna perkataan boleh diubah dengan menambah imbuhan tertentu. Umumnya, kata dasar (atau kata akar) terdiri daripada kata kerja.

Penggunaan Bahasa Melayu di negara-negara ini berbeza bergantung kepada sejarah dan budaya. Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi di Malaysia pada 1968, tetapi Bahasa Inggeris masih digunakan dengan luas terutama sekali di kalangan masyarakat Cina dan India, sama seperti di Brunei. Berbeza di Indonesia, Bahasa Indonesia berjaya menjadi bahasa perantaraan utama atau lingua franca untuk rakyatnya yang berbilang kaum kerana usaha gigih kerajaan Indonesia dalam menggalakkan penggunaan Bahasa Indonesia selain Bahasa Belanda yang tidak lagi digunakan. Di Timor Leste, sekarang terlepas dari Indonesia menjadi negara Timor Leste, Bahasa Indonesia diterima sebagai "bahasa berkerja". Di Singapura, Bahasa Melayu dikekalkan statusnya sebagai bahasa kebangsaan walaupun Singapura mempunyai empat bahasa rasmi (iaitu Bahasa Inggeris, Cina, India, dan Melayu.) Di selatan Thailand, bahasa Melayu digunakan oleh orang-orang daripada Kesultanan Melayu Patani (orang Melayu Pattani), tetapi tidak memperolehi sebarang pengiktirafan daripada kerajaan.

Pada awal tahun 2004, Dewan Bahasa dan Pustaka dan MABBIM mencadangkan Bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi ASEAN memandangkan lebih separuh jumlah penduduk ASEAN mampu bertutur dalam Bahasa Melayu. Walaubagaimanapun, perkara ini masih dalam perbincangan.

Tulisan Jawi

Tulisan Jawi (توليسن جاوي) adalah satu seni penulisan yang telah wujud berabad-abad lamanya di Nusantara. Kemunculannya berkait secara langsung dengan kedatangan agama Islam ke Nusantara. Tulisan Jawi berasal dari tulisan Arab dan merupakan huruf-huruf Arab yang dimasukkan ke dalam sistem penulisan bahasa Melayu. Tulisan Jawi adalah tulisan rasmi bagi negara Brunei dan digunakan meluas di Malaysia, Filipina dan Indonesia.

Tulisan Jawi adalah antara tulisan terawal yang pernah ditemui. Tulisan ini telah berkembang sejak zaman Kerajaan Islam Pasai kemudian disebarkan ke Kerajaan Melaka, Kerajaan Johor dan juga Aceh pada abad ke-17. Bukti kewujudan tulisan ini di Malaysia adalah dengan terjumpanya Batu Bersurat Terengganu yang bertarikh 702H atau 1303M manakala tulisan Rumi yang paling awal ditemui adalah pada akhir kurun ke-19. Ini menunjukkan tulisan Jawi telah sampai ke negara ini lebih awal berbanding tulisan Rumi. Tulisan Jawi merupakan tulisan rasmi bagi Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu semasa penguasaan British. Kini tulisan ini digunakan dalam urusan agama Islam dan adat istiadat Melayu yang kebanyakkannya di Johor, Kedah, Kelantan, Perlis, dan Terengganu.

Pada zaman dahulu, tulisan Jawi memainkan peranan penting dalam masyarakat. Ia digunakan sebagai perantara penting dalam semua urusan pentadbiran, adat istiadat dan perdagangan. contohnya digunakan dalam perjanjian-perjanjian penting antara pihak-pihak di-Raja Melayu dengan pihak-pihak berkuasa Portugis, Belanda dan Inggeris. Selain itu, Pemasyhuran Kemerdekaan 1957 bagi negara Malaysia antara lain juga tertulis dalam abjad Jawi.

Variasi Khat

Pengenalan Seni khat

Khat ialah perkataan Arab yang bermaksud garisan. Oleh itu, seni khat bermaksud garisan indah yang membentuk tulisan. Khat juga bermaksud tulisan-tulisan ( kitabah ) yang terikat dengan peraturan dan kaedah yang telah dikaji dan ditentukan oleh mereka yang terlibat dengan kemajuan seni. Tulisan-tulisan Arab pula mempunyai nilai dan kaedah tertentu yang mempunyai estetika yang tinggi. Picasso, seorang ahli seni terkenal di dunia dari Perancis pernah mengatakan, " Selepas aku melihat seni yang terdapat pada Khat Arab, aku mengakui bahwa dunia seni lukis masih terkebelakang dengan kesenian itu ". Seni khat bukan sekadar wacana penyampai maklumat tetapi mengandungi nilai abstrak yang disimpulkan dengan kehalusan, kelembutan, kesinambungan, perhubungan, pergerakan, keharmonian dan sebagainya.

Seni khat di Alam Melayu

Seni khat mula memasuki Tanah Melayu semenjak abad ke-7M melalui dakwah dan perniagaan yang mula berpusat di Gujerat. Perlak, Sumatera kemudiannya menjadi pusat penyebaran Islam dan titik berkembangnya seni tulisan Khat di bumi Melayu. Sehingga kurun 15M, Melaka telah mengambil alih peranan pusat perniagaan dan penyebaran Islam di Tanah Melayu. Islam dan tulisan Khat terus berkembang dan ianya terbukti secara rasminya melalui penemuan batu bersurat Terengganu ( 1303M).

Seterusnya, seni khat dipelajari di Tanah Melayu melalui pengajian pondok, sekolah-sekolah Arab dan beberapa institusi yang lain. Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim contohnya telah melahirkan ramai guru yang mengajar tulisan jawi suatu masa dahulu. Antara sekolah-sekolah Arab yang telah melahirkan penulis-penulis Khat tanahair ialah Madrasah Al-Attas Johor, Sekolah Sultan Zainal Abidin Terengganu, Madrasah Muhammadiyyah Kelantan, Maktab Mahmud Kedah, Madrasah Al-Ihya Al-Syarif Perak dan lain-lain.

Penulis-penulis Khat tanahair yang tersohor antaranya ialah Syed Abdul Rahman bin Hasan Al-Attas, Haji Wan Salleh Fathi bin Wan Isa serta beberapa penulis muda yang semakin menonjol pada masa kini. Terdapat penulis-penulis tempatan yang telah memasuki pertandingan di peringkat antarabangsa bahkan di kalangan mereka yang kerap menjuarai pertandingan peringkat ASEAN. Adalah lebih baik, bidang penulisan Khat ini disemarakkan kembali di peringkat pembelajaran tanahair samada formal mahupun tidak formal agar ianya tidak pupus dimamah zaman.

 

Jawi Digital

Pendigitalan tulisan jawi telah bermula sejak tahun 1990an lagi. Sebenarnya terdapat banyak isu dalam memperjuangkan tulisan jawi walaupun dalam alam maya.

Unicode dan IDN

Perkara ini telah dibincangkan dengan terperinci oleh MyNIC (Malaysia Domain Registrar). Untuk mengetahui lebih lanjut anda boleh membaca PDF pada link di bawah.

.my IDN Table for Jawi Script

Report for Malaysia’s Internationalized Domain Name: Jawi Language Issues

Tidak lama lagi, anda boleh memiliki alamat domain URL dalam tulisan jawi yang pertama di dunia. Contohnya www.ايجاوي.my

Font

Tradisinya, tulisan arab mempunyai pelbagai bentuk tulisan (khat). Yang paling lazim ialah Khat Thuluth, Khat Nasakh, Khat Reqaah, Khat Farisi, Khat Diwani dan Khat Kufi. Bagi tulisan jawi, penggunaan khat-khat ini juga digunapakai. Tetapi bagi tulisan jawi sendiri, belum ada khat khusus yang dicipta bagi mewakili khat jawi.

Bagi jawi digital, anda memerlukan font untuk memaparkan bentuk huruf-huruf jawi. Font-font ini anda boleh dapatkan secara percuma atau komersial. Walau bagaimanapun, buat masa ini tidak banyak pilihan bagi font-font yang mempunyai semua huruf-huruf jawi.

Sebelum ini, ada font-font yang diubah daripada font-font arab dengan hanya menukar huruf-huruf yang jarang digunakan dalam tulisan jawi kepada huruf jawi. Kaedah ini menyebabkan huruf-huruf jawi akan berubah sekiranya anda menggunakan font standard yang lain.

Antara font standard yang menyokong hampir kesemua huruf jawi sekarang ialah Arabic Typesetting. Anda boleh dapati font ini sekiranya anda memasang komputer anda dengan Sistem Operasi Windows Vista.

Untuk mengelakkan kebergantungan kepada pihak luar untuk membangunkan font bagi tulisan jawi, kita sebenarnya boleh membuatnya sendiri. Apa yang anda perlukan ialah beberapa perisian yang anda boleh dapatkan secara percuma dan komersil. Di sini saya nyatakan beberapa perkara yang perlu anda ada untuk membuat font jawi :

  • Perisian Font Builder (cth : Font Creator Program)
  • Microsoft VOLT
  • Huruf-huruf jawi yang siap dilukis (perlu mempunyai semua bentuk)

Rendering Engine

Untuk memastikan apa yang anda taip dalam tulisan jawi bersambung mengikut sepatutnya, anda memerlukan Rendering Engine atau apa yang dipanggil sebagai Uniscribe Unicode Script Processor (usp10.dll) bagi pengguna Windows.

Susun Atur Papan Kekunci

Berikut merupakan kedudukan susunan huruf-huruf jawi. Susunan ini telah diputus dan dipersetujui semasa mesyuarat MyNIC/DBP/UKM/SIRIM pada 24/4/2009. Walau bagaimanapun ianya masih belum muktamad. Hampir kesemua huruf arab dikekal ditempat asal, bagi huruf jawi pengguna perlu menekan butang SHIFT+huruf untuk mendapatkan huruf jawi.

Maklumat lengkap berkenaan cadangan susun atur keyboard jawi ini anda boleh baca kertas cadangan Design and Implementation of Jawi keyboard layout: A Proposal

Susun atur baru bagi keyboard jawi Ejawi - Paparan Normal.

Paparan Shift

Ejawi menggalakkan anda menggunakan susun atur keyboard yang baru kerana ianya menggunakan kod huruf jawi unicode yang telah distandardkan.

Perisian / Laman Web Jawi (Online dan Offline)

Tidak banyak perisian-perisian jawi yang berada di pasaran. Malah untuk mendapatkan agak sukar. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa perisian yang saya kira bagus untuk dikongsikan bersama. Saya cuba untuk menyenaraikan kesemuanya, sekiranya ada lagi produk-produk yang tidak tersenarai, sila maklumkan kepada saya untuk dimasukkan ke dalam ruangan ini.

Perisian

Laman Web

Isu-Isu Berbangkit

Dalam memperjuangkan jawi digital, terdapat beberapa isu yang masih dan belum selesai sepenuhnya, antaranya :

  • Unicode-compliant jawi font
  • Special Issue: the position of hamzah
  • ZWNJ - Zero width non joiner

Tiga isu di atas anda boleh mengetahui lebih lanjut dengan membaca di http://sun1.ftsm.ukm.my/src/zamri/jawiware-2.html. En Mohd Zamri Murah merupakan pensyarah di Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat Universiti Kebangsaan Malaysia, Pattern Recognition Group, Center for Artificial Intelligence Technology. Beliau terlibat secara langsung mewakili UKM dalam Mesyuarat Teknikal (TC) di bawah kelolaan SIRIM untuk mewujudkan standard kod dan susun atur papan kekunci jawi.

 

Ejawi.net

Ejawi.net telah beroperasi secara atas talian (online) sejak 19 Mac 2006. Beberapa siri penambahbaikan telah dilakukan terhadap Ejawi khususnya enjin penukaran automatik. Berikut dinyatakan beberapa perubahan ciri-ciri yang dilakukan mengikut versi Ejawi.

Ejawi versi 3.0 (1 Mei 2009)

  • Perubahan keseluruhan laman dari sudut antaramuka, grafik dan kandungan
  • Penambahan Ruangan Anjung, Kenali Ejawi, Ejawi Pro, Ejawi ForKids, Projek Kamus Terbuka dan Sudut Kreatif
  • Ruangan Komen disusun kembali mengikut kategori untuk memudahkan pengguna membuat rujukan
  • Penjenamaan Semula Ejawi Converter kepada Ejawi Pro/Profesional
  • Meningkatkan keupayaan enjin penukaran automatik dengan menambah sebanyak lebih 50,000 daftar kata DBP
  • Kini penukaran boleh dibuat secara dua hala -- (Rumi - Jawi) dan (Jawi - Rumi)
  • Pengguna boleh membuat pilihan kaedah penukaran sama ada menggunakan kaedah suku kata sahaja, daftar kata sahaja atau menggabungkan kedua-dua kaedah terbabit.
  • Meminda beberapa kod huruf jawi kepada kod unicode yang piawai (berdasarkan mesyuarat penyelarasan peringkat TC (Technical Committe) yang dipengerusikan oleh SIRIM dengan ahli dari DBP, UKM dan MyNIC pada 24/4/2009)
  • Menggunakan virtual keyboard yang baru
  • Mewujudkan ruangan Ejawi ForKids bagi sokongan pembelajaran interaktif
  • Mewujudkan projek baru iaitu Kamus Terbuka versi 1

Ejawi versi 2.2 (21 Mac 2007)

  • Menambah beberapa kekunci pada keyboard jawi seperti tanda-tanda baris
  • Mengemaskini enjin penukaran rumi jawi dengan penambahan suku kata
  • Menambah fungsi pilihan untuk pengguna menukar bentuk nombor
  • Menambah kolum bagi Ejawi™OnCD dan SMS InJawi

Ejawi versi 2.1 (1 Disember 2006)

  • Mengemaskini font-font
  • Mengemaskini enjin penukaran rumi jawi dengan penambahan suku kata

Ejawi versi 1 (19 Mac 2006)

  • Versi awal Ejawi dilancarkan
  • Pengguna boleh menukar sebarang perkataan yang dimasukkan ke dalam bentuk tulisan jawi
  • Pengguna boleh membaca teks jawi walaupun tidak mempunyai font jawi melalui keadah embeded font. Walau bagaimanapun terhad untuk pengguna yang melayari dengan Internet Explorer 6 ke atas
  • Dua jenis font disediakan iaitu Arial Jawi dan Arial Nasakh

Penyelidikan dan Pembangunan

Pembetulan Pengeja Jawi (Jawi Spell Correction)

InsyaAllah, kajian yang akan dilakukan dalam masa terdekat adalah berkaitan dengan Pembetulan Pengeja Jawi. Kajian ini akan menganalisa beberapa teknik yang digunakan berdasarkan beberapa model sedia ada antaranya seperti Edit Distance Calculation dan N-Gram. Teknik-teknik ini akan memberikan cadangan terhadap perkataan-perkataan yang dianggap salah dan memberikan alternatif perkataan yang paling hampir.

Kajian ini merupakan tajuk penyelidikan bagi tesis yang akan selesai pada 2010 nanti, insyaAllah.

 

Terma dan Syarat | Dasar Kerahsiaan | Hubungi | Bantuan W3C | Login

Best viewed with Internet Explorer 6 and 7 (IE). Screen resolution 1024 X 800
Hakcipta terpelihara © 2006-2009. Ejawi.net. Dibangun & disenggara sepenuhnya oleh
Nik Muhammad bin Nik Abdul Kadir

Aplikasi-aplikasi Ejawi disediakan secara percuma untuk semua pengguna yang mengunjungi laman ini. Sebarang penggunaan adalah tertakluk kepada terma dan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Ejawi. Ejawi tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang tuntutan dan klaim disebabkan penggunaan di laman ini. Sebarang pertanyaan berkenaan penajaan/sponser untuk projek ini, anda boleh terus hubungi pihak Ejawi menerusi emel cmd_safhah [at] yahoo [dot] com